Wahai kaum Muslimin!
Umat Islam pada hari ini berdepan dengan masalah dan isu-isu yang terlalu banyak. Penindasan dan kezaliman terhadap mereka berlaku di mana-mana sahaja di atas muka bumi ini. Masalah-masalah umat Islam yang berlaku di Palestin, Iraq, Lubnan, Afghanistan, Chehnya, Kashmir, Filipina, Indonesia dan bahkan kezaliman yang berlaku di negara jiran kamu; selatan Thailand! Masalah yang begitu banyak dan kesemua ini berpunca daripada isu yang berlaku di Palestin. Sebagai contoh, Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ke atas Iraq (2003) adalah demi untuk menjaga kepentingan Israel di rantau tersebut. AS mahu menjauhkan sebarang ancaman dan memelihara kedudukan sekutu-sekutu mereka di Asia Barat. AS juga membantu Israel menyerang selatan Lubnan adalah bertujuan untuk menghapuskan Hizbullah yang telah berjuang mempertahankan tanah air mereka serta menyokong perjuangan di Palestin. Begitulah juga masalah-masalah lain yang berlaku dalam dunia Islam – asas dan puncanya adalah ‘isu Palestin’. Kerana dengan isu-isu yang lain itu juga umat Islam akan kehilangan tumpuan mereka terhadap masalah yang berlaku di Palestin. Sekiranya masalah di Palestin dapat diselesaikan, maka akan berakhirlah masalah-masalah umat Islam di negara-negara yang lain. InsyaALLAH!
Isu Palestin adalah isu akidah, yang mana umat Islam sama-sama memikul tanggungjawab untuk menyelesaikannya. Kerana ALLAH S.W.T telah memuliakan Masjid al-Aqsa melalui firman-NYA di dalam al-Quran (maksudnya): “Maha Suci ALLAH yang telah menjalankan hamba-NYA (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya ALLAH jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Israk, ayat 1)
Dalam sebuah hadis diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda (mafhumnya): “Janganlah kamu bersusah payah untuk pergi (bermusafir) melainkan ke tiga buah Masjid : Masjid al-Haram, Masjid al-Aqsa dan Masjidku ini (Masjid al-Nabawi, di Madinah al-Munawwarah)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Bumi Palestin dan Baitul-Maqdis telah diceroboh oleh tentera-tentera penjajah Zionis Israel! Masjid al-Aqsa telah dikotori dan dinajisi oleh golongan Yahudi yang melampui batas! Masjid al-Aqsa adalah kiblat pertama bagi umat Islam dan terletak di salah sebuah daripada tiga kota suci bagi kaum muslimin selepas Makkah dan Madinah. Sepatutnya seluruh umat Islam berasa cinta untuk mempertahankan kesuciannya dan merasakan kehilangannya. Akan tetapi mereka semua masih ‘nyenyak’ tidur! Bangsa Arab sering mengatakan bahawa ‘kami telah kehilangan Masjid al-Aqsa..’ Saya ingin menegaskan di sini bahawa: “Masjid al-Aqsa adalah hak milik umat Islam di seluruh pelusuk dunia! Ianya bukan sahaja milik bangsa Arab atau rakyat Palestin, bahkan ianya adalah milik kamu dan sepatutnya kamu semua bertanya kepada diri kamu sendiri apakah yang telah kamu lakukan untuk membebaskan Masjid al-Aqsa..? Sesungguhnya ALLAH akan menyoal kamu semua pada hari Akhirat kelak!”
Firman ALLAH S.W.T (maksudnya): “Maka apabila sampai masa janji yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau; dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku.” (Surah al-Israk: 5)
ALLAH S.W.T telah menyatakan kepada kita dengan janji-NYA bahawa mereka yang mampu melakukan amanah tersebut adalah dari kalangan hamba-hamba-NYA yang gagah perkasa bukan mereka yang lemah dan mengikut telunjuk musuh-musuh serta mengikut hawa nafsu.
Jihad Adalah Penyelesaian
Wahai kaum Muslimin! Bagaimanakah dapat diselesaikan masalah umat Islam di Palestin?
Rakyat Palestin telah mencuba pelbagai cara dalam usaha untuk membebaskan bumi Palestin dan mendapatkan kembali hak-hak mereka yang telah dirampas di tanah suci tersebut. Di antaranya ialah dengan melalui perjanjian damai, persidangan, perundingan, dengan mengikut pelan damai yang dianjurkan oleh PBB dan sebagainya. Walau bagaimanapun, kesemua cara ini telah menemui kegagalan. Bekas Presiden PLO, Yasser Arafat sebagaimana yang kamu ketahui telah mengikut jalan perdamaian ini sejak sekian lama sehinggakan beliau bersetuju untuk mengiktiraf negara haram Israel. AS dan kerajaan Israel telah menabur janji kepadanya untuk memberikan kekuasaan dan sebuah negara Palestin yang merdeka. Akan tetapi mereka telah mengkhianati dan menipunya sehinggalah ke peringkat meracuni dan membunuhnya! Oleh kerana semua cara ini tidak berhasil, maka rakyat Palestin telah memilih jalan yang lain untuk merungkai permasalahan yang menimpa mereka iaitu dengan kebangkitan, penentangan dan perjuangan jihad. Inilah jalan yang benar! Jihad adalah penyelesaian bagi masalah yang membelenggu umat Islam di Palestin!
Bagi memastikan jihad ini bertambah kuat dan berterusan sehingga ke kemuncaknya, perjuangan ini menyaksikan penglibatan daripada segenap lapisan masyarakat sama ada golongan tua dan muda, lelaki dan perempuan juga termasuk kanak-kanak. Keseluruhannya terjun ke medan jihad termasuklah kanak-kanak yang melempar batu-batu. Sememangnya dalam mengharungi perjuangan suci ini menuntut pengorbanan yang tinggi dan gugurnya para syuhada dari seluruh lapisan masyarakatnya. Dari kalangan orang-orang tua, kita telah menyaksikan contoh yang begitu bermakna dengan gugurnya Sheikh Ahmed Yassin r.h selaku pemimpin HAMAS yang dikasihi rakyat, semoga ALLAH merahmatinya dengan keagungan mati syahid. Dari kalangan orang-orang yang muda pula telah gugur syahid Dr.Abdel Aziz Rantisy r.h yang merupakan pembantu dan penggantinya. Juga telah gugur begitu ramai syuhada dari kalangan pemuda-pemudi, lelaki dan wanita, bahkan termasuk kanak-kanak yang mana telah pun kamu ketahui mengenainya.
Seperkara yang begitu mengagumkan ialah kaum ibu dan wanita turut sama bersemangat untuk melaksanakan jihad dan penentangan. Mereka tidak mahu membiarkan hanya anak-anak mereka sahaja yang mendapat syahid. Bukan sahaja golongan lelaki yang mampu untuk melakukan ‘amaliyyah istisyhadiyyah (operasi pengeboman berani mati untuk mendapatkan syahid), malah golongan wanita juga tidak ketinggalan. Pernah sekumpulan wanita dan ibu-ibu yang datang berjumpa Sheikh Ahmed Yassin r.h merayu sambil menangis teresak-esak agar mereka juga diberikan peluang untuk melakukan ‘amaliyyah istisyhadiyyah dan terkorban sebagai syuhada. Pada mulanya beliau tidak mengizinkan akan tetapi setelah melihat kesungguhan mereka, akhirnya sebahagian dari kalangan mereka diizinkan untuk berbuat demikian. Jikalau dilihat dari segi strategi, sememangnya golongan wanita lebih mudah untuk melakukan operasi pengeboman ini. Kerana tentera-tentera Israel tidak begitu mengesyaki golongan wanita untuk masuk ke kawasan awam atau tempat-tempat di mana terdapat tentera yang sedang berkawal. Maka dengan mudah mereka dapat menyelinap masuk ke tengah-tengah tentera musuh lalu meletupkan diri sekaligus membunuh ramai tentera Israel dan mencederakan beberapa yang lain.
Begitulah keberanian yang ditunjukkan oleh kaum wanita. Pernah juga terjadi suatu peristiwa di mana pada suatu pagi sekumpulan tentera Israel telah datang ke sebuah rumah. Pada ketika itu hanya yang berada di rumah tersebut ialah seorang ibu dan anak-anaknya. Salah seorang tentera tersebut bertanyakan tentang suami wanita itu lalu mengugut akan menangkap anak-anaknya sekiranya ibu tadi enggan bekerjasama. Beliau mengatakan bahawa suaminya tiada di rumah. Salah seorang tentera telah mengambil cerek kecil yang sedang mendidih airnya di dalam rumah tersebut lalu mencurahkan ke atas kepala seorang anak wanita itu yang masih kecil lalu membiarkannya menangis. Kemudian mereka menangkap 3 daripada 6 orang anak-anaknya sambil mengatakan bahawa sekiranya beliau masih enggan memberitahu di manakah suami beliau berada, mereka akan datang lagi pada keesokan hari. Dengan beraninya ibu tadi menjawab: “Aku memiliki 6 orang anak. Sekiranya kamu mengambil 3 orang anak-anakku, masih ada yang lain yang masih kecil. Mereka inilah nanti yang akan membunuh kamu sekalian!”
Asas-asas Yang Menjadi Pegangan Untuk Meneruskan Jihad
Wahai kaum muslimin sekalian.
Dalam melaksanakan jihad ini, rakyat Palestin telah berpegang kepada 3 asas yang utama.
Pertama: Perintah ALLAH untuk melaksanakan Jihad.
ALLAH S.W.T telah memerintahkan kaum Muslimin untuk berjihad mempertahankan diri mereka terhadap kezaliman. Firman ALLAH S.W.T (maksudnya): “Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dizalimi; dan sesungguhnya ALLAH Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).” (Surah al-Hajj, ayat 39)
Firman ALLAH lagi (maksudnya): “Sesungguhnya ALLAH telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan ALLAH maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh ALLAH di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada ALLAH? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.” (Surah al-Taubah: 111)
Firman-NYA lagi (maksudnya): “Perangilah mereka, nescaya ALLAH akan menyeksa mereka dengan (perantaraan) tangan kamu, dan ALLAH akan menghinakan mereka serta menolong kamu menewaskan mereka, dan Ia akan memuaskan hati orang-orang yang beriman.” (Surah al-Taubah: 14)
Rakyat Palestin berpegang kepada perintah ALLAH ini untuk meneruskan perjuangan mereka membebaskan Masjid al-Aqsa dan tanah air mereka. Di mana umat Islam tidak boleh berpaling diri daripada perintah ALLAH untuk berjuang mempertahankan bumi Islam daripada penjajahan apatah lagi yang membiarkan Masjid al-Aqsa diceroboh dan dikotori oleh musuh-musuh. Oleh itu hukum jihad adalah fardu ain terutamanya bagi umat Islam di Palestin, kerana mereka tinggal di bumi suci tersebut dan mereka rela mengorbankan darah dan nyawa mereka demi mempertahankannya. Rakyat Palestin akan terus berjuang dengan segala kekuatan mereka sehinggalah terbebasnya Masjid al-Aqsa al-Mubarak dan sehingga mereka menghalau musuh-musuh dan penjajah Yahudi keluar dari tanah air mereka. InsyaALLAH.
Kedua: Pergantungan kepada diri mereka.
Setelah berpegang kepada perintah ALLAH tersebut dan meletakkan pergantungan diri kepada-NYA, rakyat Palestin juga bergantung kepada diri mereka sendiri untuk meneruskan perjuangan. Ini kerana sekiranya mereka tidak berbuat demikian, maka siapakah lagi yang dapat melaksanakan kewajipan tersebut? Kerana itulah pendidikan jihad diterapkan ke dalam sanubari anak-anak mereka supaya penentangan terhadap musuh-musuh akan berterusan dari satu generasi ke generasi yang lain.
Ketiga: Pergantungan kepada sokongan umat Islam dari luar.
Umat Islam di Palestin juga meletakkan harapan dan pergantungan kepada sokongan serta bantuan daripada saudara-saudara mereka dari luar. Mereka tidak lagi mengharapkan sokongan daripada kerajaan negara-negara Arab, para pemimpin dan raja-raja mereka yang selama ini telah jelas mengkhianati mereka dan cenderung kepada barat serta bersekongkol dengan AS dan Zionis Israel. Mereka menghalang bantuan dan derma-derma daripada di salurkan kepada mereka yang sedang menderita di bumi Palestin. Mereka ini dibantu oleh AS untuk mengekalkan kekuasaan dan hanya mahu menjaga kedudukan kerusi masing-masing. Kerana itu rakyat Palestin tidak lagi mengharapkan sokongan mereka.
Namun itu tidak bermakna rakyat di negara-negara mereka juga bersikap demikian, yang saya maksudkan ialah para pemimpin dan raja mereka. Sedangkan gelombang kebangkitan rakyat begitu jelas menyokong kami di Palestin. Contohnya rakyat dan bangsa Arab di Syria dan Jordan yang menyatakan sokongan padu mendukung perjuangan saudara-saudara mereka di Palestin. Bahkan rakyat Palestin begitu terharu apabila mendapati saudara-saudara mereka di Malaysia, Indonesia, India, Pakistan, Sri Lanka dan negara-negara lain di Asia turut sama merasai penderitaan mereka dan menghulurkan bantuan sekadar kemampuan yang terdaya.
Kecelakaan Buat Mereka Yang Kaya-raya
Wahai kaum muslimin,
Sahabat saya iaitu Dr.Mohsen M.Saleh (Associate Professor of Palestinian Studies and Modern Arab History, Az-Zaytoon Research Centre, Beirut) telah mengatakan bahawa sekiranya negara-negara Arab memberikan sebahagian daripada harta zakat mereka, tentulah jumlahnya cukup besar untuk membantu keperluan saudara-saudara mereka di Palestin. Walau bagaimanapun, saya ada pendapat yang berbeza. Saya ingin menegaskan di sini bahawa kami rakyat Palestin tidak memerlukan wang dan harta-benda kamu untuk kami meneruskan perjuangan jihad ini!
Wahai para pemimpin kerajaan, raja-raja dan para hartawan Arab yang kaya-raya! Simpan sahajalah wang kamu semua! Pergilah kamu bersama-sama harta-benda kamu itu menuju ke neraka Jahanam!!!
Ketahuilah! Mereka itu bukan sahaja tidak mahu membantu umat Islam dan rakyat Palestin! Bahkan kerajaan-kerajaan Arab ini tunduk kepada kemahuan Amerika dan Yahudi Zionis melakukan kezaliman dengan menghalang bantuan-bantuan kewangan, makanan dan ubat-ubatan yang datang dari luar untuk dibawa masuk ke bumi Palestin! Mereka telah mengkhianati kami! Kami akan mendakwa mereka ini di hadapan Allah pada hari akhirat kelak!
Hamba-hamba ALLAH Yang Gagah Perkasa
Siapakah yang dapat melaksanakan jihad membebaskan Baitul-Maqdis? ALLAH S.W.T telah berfirman: “..Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau; dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku.” (Al-Israk: 5)
ALLAH Azza wa Jalla menyifatkan mereka ini sebagai “..hamba-hamba Kami yang kuat gagah” bukan orang-orang yang lemah dan condong mengikut telunjuk Musuh! Menjadikan musuh-musuh ALLAH sebagai teman setia dan pelindung! Bersifat khianat dan mengikut hawa nafsu serta menjauhkan diri daripada jihad!
Hanyalah golongan yang beramal soleh, mendirikan solat, sentiasa memenuhi masjid, membaca al-Quran, berpuasa, beribadat dengan penuh keikhlasan dan ketaatan yang benar-benar mampu melaksanakan kefarduan jihad! Mereka adalah Hamba-hamba ALLAH yang beramal soleh dan gagah perkasa, mereka adalah Mujahidin yang cintakan syahid! Mereka akan membebaskan Masjid al-Aqsa yang mulia, kiblat pertama bagi umat Islam dan tempat berlakunya Israk dan Mikraj Nabi S.A.W!
Larangan Memasuki Masjid al-Aqsa Bagi Golongan Muda
Wahai kaum Muslimin!
Kerajaan Israel begitu takutkan kebangkitan golongan muda di Palestin. Kerana itulah pada hari ini mereka melarang sesiapa yang di bawah umur 40 tahun untuk mengerjakan solat di dalam Masjid al-Aqsa terutamanya pada hari Jumaat. Akhirnya mereka ini terpaksa mendirikan solat Jumaat di jalanan sekitarnya.
Suatu ketika dahulu saya pernah berkhutbah di Masjid al-Aqsa pada solat Jumaat dengan para jemaah yang beratus-ratus ribu orang! Pada hari ini musuh-musuh tidak mahu golongan muda memenuhi masjid-masjid dan hanya membiarkan golongan tua dan tidak berdaya sahaja memasukinya..
Ini kerana sekiranya golongan muda beriltizam dengan Islam, maka itu adalah satu ancaman buat mereka! Orang-orang yang tidak berpegang kuat kepada agama tidak lain hanyalah golongan yang tunduk patuh dan layak untuk diperbodohkan oleh mereka.
Meruntuhkan Masjid al-Aqsa
Masjid al-Aqsa kini sedang diancam oleh kerja-kerja penggalian terowong di bawahnya. Mereka menyangka terdapat Haikal Sulaiman di situ akan tetapi sudah puluhan tahun tiada apa yang dapat ditemui.. sesungguhnya semua ini adalah pembohongan. Tujuan yang sebenarnya ialah untuk melemahkan struktur asas Masjid al-Aqsa yang terletak di tanah yang tinggi. Kini keadaan agak membimbangkan dengan kemungkinan Masjid al-Aqsa akan runtuh dari tempatnya.
Sudah tentulah rakyat Palestin yang tinggal di sekitar kawasan tersebut tidak berdiam diri. Akibat gangguan dan halangan daripada penduduk setempat maka kebiasaannya kerja-kerja penggalian ini dilakukan pada tengah malam. Seringkali berlaku para penduduk melemparkan batu-batu ke arah para pekerja tersebut apabila kedengaran bunyi mesin dan peralatan lain pada tengah malam.
Antara lain tujuan penggalian terowong tersebut adalah untuk memudahkan tentera dan anggota keselamatan Israel melaluinya ketika mengejar dan menangkap rakyat Palestin dan pejuang kanak-kanak yang melempar batu-batu dari atas permukaan Masjid al-Aqsa ke arah tembok tempat golongan Yahudi beribadat. Ini kerana tanpa terowong tersebut jalan yang ada untuk sampai ke dataran atas adalah jauh dan mengambil masa.
Suka dan Duka
Wahai kaum Muslimin!
Bagi saudara-saudara kamu di Palestin, terdapat beberapa perkara yang menyenangkan perasaan dan menggembirakan hati mereka dan juga terdapat beberapa perkara yang begitu menyakitkan dan menyempitkan dada mereka.
Di antara perkara-perkara yang menyenangkan hati mereka ialah bantuan serta sokongan daripada dunia Islam yang mana ini membangkitkan semangat mereka untuk terus melaksanakan perjuangan yang menuntut pengorbanan darah ini. Mereka juga bergembira apabila mendapat tahu bahawa terdapat saudara-saudara mereka di luar bumi Palestin yang terus memberikan sokongan dan mengikuti perkembangan mereka… seperti perhimpunan yang seumpama ini, di mana umat Islam mendengar kisah-kisah perjuangan mereka serta turut sama merasai penderitaan yang menimpa mereka dan sanggup berkorban harta benda yang termampu untuk dihulurkan kepada mereka. Mereka juga merasa bangga dengan meletakkan anak-anak bangsa mereka mempertahankan bumi al-Aqsa seperti pergerakan HAMAS, Jihad Islami… atau apa sahaja bentuk penentangan demi untuk mencapai kemenangan menewaskan golongan penjajah. Mereka akan terus berjuang sekali pun terpaksa mengorbankan nyawa dan darah, mereka bersumpah tidak akan menyerahkan tanah air mereka walaupun sejengkal. Umat Islam di Palestin juga merasa senang hati dengan sokongan dari negara jiran mereka seperti perjuangan Hizbullah di selatan Lubnan yang turut sama menentang musuh mereka iaitu Yahudi Zionis. Perjuangan dan penentangan ini memberikan kekuatan kepada saudara-saudara kamu di Palestin. Mereka juga merasa gembira dengan bantuan dan sokongan yang berterusan daripada kamu semua iaitu umat Islam dari luar bumi yang dijajah itu.
Manakala perkara-perkara yang begitu membimbangkan hati mereka ialah kemungkinan berlakunya pertembungan di antara dua golongan daripada kalangan anak bangsa mereka sendiri. Sebagaimana yang kamu ketahui, di Palestin terdapat dua kumpulan yang paling besar iaitu golongan Fatah dan golongan HAMAS.
Golongan Fatah inilah yang mahu meneruskan perdamaian dengan kerajaan penjajah (Israel), mengiktiraf kekuasaan dan pendudukan mereka di bumi Palestin. Mereka telah sekian lama tunduk kepada tekanan dan mengikut telunjuk musuh-musuh. Malah mereka juga turut sama memberikan tekanan terhadap para pejuang. Sepanjang tempoh memegang tampuk pemerintahan, telah berlaku penyalahgunaan kuasa, rasuah dan penyelewengan dana. Maka rakyat Palestin sudah tidak yakin lagi dengan kepimpinan mereka, lalu mereka telah memilih kerajaan yang baru iaitu dengan menyokong pergerakan HAMAS dalam pilihanraya yang lalu (2005) sebagaimana yang kamu semua telah ketahui.
Manakala golongan HAMAS pula ialah mereka yang mahu meneruskan perjuangan menentang kuasa penjajahan. Mereka tidak sekali-kali akan mengiktiraf negara Israel dan penguasaan tentera Zionis terhadap tanah air mereka. Mereka akan terus berjuang sehingga terbebasnya Masjid al-Aqsa dan bumi suci Palestin serta menghalau tentera-tentera penceroboh keluar dari tanah air mereka.
Rakyat Palestin juga merasa sungguh sedih dan dukacita terhadap negara-negara Arab yang berada di sekitar negara Palestin apabila mereka ini telah telah melakukan sekatan dan kepungan terhadap rakyat Palestin! Menyekat bantuan-bantuan kewangan daripada dipindahkan melalui bank-bank di negara mereka untuk disalurkan kepada rakyat Palestin… mereka melakukan tindakan tersebut sudah tentu mengikut kemahuan musuh-musuh Islam! Bukanlah tentera Amerika itu sendiri yang mengepung bumi Palestin dan melakukan sekatan terhadap kami… akan tetapi negara-negara Arab dan para pemimpin merekalah yang menekan kami!
Harga Yang Perlu Dibayar
Selepas mendapat kemenangan dalam pilihan raya yang lalu (Disember 2005), pergerakan HAMAS telah membentuk kerajaan dan seluruh dunia barat termasuk Amerika dan Eropah memberikan tekanan terhadap kerajaan dan rakyat Palestin. Sehingga para pegawai kerajaan sudah beberapa bulan tidak menerima gaji dan ramai rakyat yang menderita kelaparan. Kerana itulah Dr. Mahmoud Zahar, sebagai Menteri Luar Palestin dan wakil-wakilnya telah pergi ke beberapa buah negara termasuk Malaysia negara kamu ini (didatangi oleh Khaled Ismael al-Hayya, Ketua WHIP Parlimen Palestin) untuk mengumpulkan bantuan-bantuan derma dari seluruh dunia Islam demi membantu rakyat dan kerajaan Palestin yang ditekan dengan sebegitu hebat. Akhirnya bantuan kewangan sekitar USD 20 juta telah dapat dikumpulkan. Akan tetapi wang-wang tersebut tidak dapat ditransaksikan melalui bank-bank dari negara-negara Arab sebagaimana yang telah kamu ketahui. Untuk dibawa masuk melalui sempadan pula, terpaksa menghadapi risiko berhadapan dengan pasukan polis PLO yang sememangnya berpihak kepada Fatah. Maka Dr. Mahmoud Zahar telah menghubungi para pemuda HAMAS untuk memberikan bantuan. Seramai beberapa ribu anggota HAMAS yang lengkap bersenjata telah menuju ke sempadan Palestin di mana Dr. Mahmoud sedang menunggu, ini telah menggerunkan pihak polis dan menghalang mereka daripada melakukan tindakan di luar jangkaan. Mengikut perlembagaan, mana-mana menteri kerajaan tidak boleh dihalang untuk melepasi sempadan. Akhirnya, wang-wang tersebut telah diisikan ke dalam beg-beg dan dibawa masuk secara tunai melalui kenderaan sambil dikawal rapi oleh pasukan bersenjata HAMAS. Walaupun berisiko, ini sahajalah cara yang dapat dilakukan.
Bagi mengelakkan fitnah, bantuan kewangan tersebut telah disalurkan melalui badan-badan zakat kepada fakir miskin dan mereka yang memerlukan. Ini dilakukan supaya kerajaan HAMAS tidak dituduh melakukan penyelewengan sebagaimana kerajaan yang sebelum ini.
Kedua-dua kumpulan besar ini (Fatah dan HAMAS) memiliki kekuatan masing-masing dari segi bilangan anggota dan kelengkapan senjata. Maka pertembungan di antara kedua-duanya adalah merupakan satu ancaman dan perkara yang sangat bahaya!.. Kerana itulah kami akan berusaha siang dan malam (sedaya-upaya) untuk menyelesaikan pertelingkahan ini. InsyaALLAH!
Penentangan Yang Berterusan
Kaum Muslimin sekalian,
Secara hakikatnya, bangsa Yahudi itu tidak akan berundur dari bumi kami sehinggalah mereka menyembelih mati kesemua rakyat Palestin. Begitu juga rakyat Palestin tidak sekali-kali akan menyerah sehinggalah kami mendapatkan kemerdekaan dan hak-hak kami. Kami telah berjanji kepada ALLAH untuk terus berjuang sehinggalah DIA mendatangkan janji-NYA! Penentangan ini akan berterusan.. sama ada kami mati, bertambah dan berkurang…
Orang-orang yang hanya tahu mencemuh dengan mengatakan perjuangan rakyat Palestin dan kanak-kanak kecil yang membaling batu adalah sia-sia dan tidak akan membuahkan hasil.. tanyalah kepada diri kamu sendiri –senjata apakah yang telah kamu hulurkan kepada kami untuk mempertahankan diri kami daripada serangan musuh?!! Meskipun kami tidak mampu dari segi persenjataan yang lengkap akan tetapi senjata kami yang paling utuh ialah keyakinan dan keimanan kepada ALLAH Azza wa Jalla dan kecintaan untuk mati syahid!
Akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kamu sekalian kaum muslimin di Malaysia kerana memberi peluang kepada saya untuk menyampaikan ucapan berkaitan isu Palestin dan saya mewakili saudara-saudara kamu di Palestin berterima kasih sekali lagi atas bantuan-bantuan yang dihulurkan. Saya ingin menyatakan bahawa bantuan ini tidak terhad untuk tempoh tertentu sahaja bahkan perlu dilakukan secara berterusan.. dan tidak terhad dalam bentuk kewangan atau material semata-mata, akan tetapi kamu membantu dengan berdoa kepada ALLAH supaya memberi kemenangan kepada umat Islam di Palestin. Ini adalah lebih bermakna apabila seorang hamba menadah kedua tangan dengan linangan airmata di hadapan TUHAN-nya mendoakan kesejahteraan dan kemenangan untuk saudaranya sesama Islam.
Sekian, was-salaamu ‘alaikum wa rahmatullaahi wa barakaatuh.
Dr.Mohamed Mahmoud El Sheikh Siyam (Mantan Imam dan Khatib Masjid al-Aqsa, Palestin)
Wednesday, February 25, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment